Tuesday, 29 November 2016

Perayaan Kaum Kadazan

masyarakat kadazan










bakul untuk hasil menuai









Pesta Kaamatan- menuai padi


Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) atau di dalam bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. Pesta Kaamatan yang dirayakan dewasa ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum Sabah sejak tahun 1960 lagi, oleh Tun Haji Mohamad Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama.
Antara sambutan menarik yang diadakan ialah persembahan dan pertandingan tarian Sumazau. Tarian ini ditarikan oleh kaum petani terdiri daripada lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional mereka. Tarian ini dimainkan dengan iringan paluan gong. Tarian ini ditarikan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibar-kibarkan umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan.
Selain daripada persembahan tarian Sumazau, diadakan juga pertandingan nyanyian dipanggil Sugandoi, pertunjukan bina badan, dan ratu cantik atau "Unduk Ngadau", dan persembahan segala jenis kesenian dan kraftangan. Pertandingan seperti memukul gong dan sukan rakyat juga menjadi antara acara utama dalam perayaan ini.







tarian sumazau


Antara hidangan popular semasa perayaan ini ialah meminum tapai atau "Kinomol", iaitu sejenis arak tradisional. Tapai merupakan minuman tradisi mereka, diperbuat sama ada daripada beras (nasi) atau ubi kayu. Nasi akan diperam di dalam sebuah tempayan besar atau "tajau" selama seminggu, atau ubi kayu diperam selama dua hingga tiga minggu. Biasanya tapai dicampur dengan ragi untuk mempercepatkan proses "memberi rasa" kepada tapai tersebut.








tempayan


Mereka menggunakan sebatang buluh kecil yang dipanggil "Sumbiling" untuk menyedut air tapai ini dari dalam tempayan besar. Biasanya sumbiling digunakan untuk meminum air tapai yang diperbuat daripada ubi kayu. Selain itu, mereka juga menggunakan gelas khas dinamakan "Singgarung" yang diperbuat daripada buluh.


Asal usul Magavau

Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazandusun. Walau bagaimanapun ia tetap membawa maksud yang sama.
Menurut cerita lisan, Kinoingan ( Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama "Bambazon".
Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun memulakan upacara Pesta Kaamatan ( Pesta Menuai ) seperti yang dirayakan dewasa ini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi.







tangkob

Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazandusun akan Penciptanya ( Kinoingan ) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.




Credits To: http://perayaankadazan.blogspot.my/ 


9 Makanan Tradisional Kaum Kadazan-Dusun di Sabah



Salam semua pembaca blog saya. Untuk entri kali ini, saya nak share pula makanan-makanan tradisional bagi suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Makanan-makanan orang Kadazan-Dusun ni memang special sikit. Makanan mereka ni lebih sedikit kepada sayur-sayuran. Ini disebabkan kebanyakan suku kaum ini tinggal di kawasan pedalaman atau di tepi-tepi sungai pada masa dahulu. Di dalam senarai ini terdapat beberapa sahaja makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun. Selamat membaca dan mencuci mata.

Perhatian:
1. Penomboran tidak berdasarkan mana-mana kriteria.
2. Pemilik gambar diletakkan di bawah setiap gambar.
3. Sila lawati blog mereka untuk lebih banyak informasi.


1. Tuhau

Ini merupakan batang tumbuhan Tuhau.
Gambar daripada thedapurgas.blogspot.com

Tuhau yang boleh dihidangkan dan banyak dijual di pekan-pekan.
Gambar daripada mysabah.com

Tuhau merupakan salah satu makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun yang amat terkenal di Sabah. Nama makanan ini diambil daripada tumbuhan yang dipanggil Tuhau dengan nama saintifiknya, E. Coccinea kerana bahan utama dalam makanan ini adalah batang tumbuhan Tuhau. Tumbuhan Tuhau mempunyai bau yang sangat kuat seperti bau serangga dan tumbuhan ini hidup subur di kawasan hutan hujan terutamanya di Pulau Borneo. Makanan Tuhau sebenarnya merupakan makanan berupa jeruk yang enak dimakan bersama nasi dan lauk-pauk lain. Walau bagaimanapun, baunya yang seakan-akan serangga membuatkan ramai yang takut untuk mencuba makanan ini. Tetapi, ramai juga yang akan ketagih makan makanan ini selepas mencubanya beberapa kali.


2. Sup Manuk Lihing

Sup Manuk Lihing yang siap dimasak.
Gambar daripada ummuhatul.blogspot.com

Antara bahan-bahan Sup Manuk Lihing.
Gambar daripada peppers-love.blogspot.com

Sup Manuk Lihing, atau Sup Ayam Lihing di dalam Bahasa Melayu, merupakan salah satu makanan tradisional bagi suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Bahan-bahan dalam makanan ini termasuk daging ayam, minuman keras jenis Lihing, halia, garam dan serbuk perasa. Oleh kerana makanan ini mengandungi minuman keras, maka ianya haram dimakan oleh yang beragama Islam. Sup Manuk Lihing selalunya dimakan bersama nasi ataupun boleh dimakan begitu sahaja. Menurut kepercayaan kaum Kadazan-Dusun, makanan ini baik untuk wanita yang baru melahirkan anak. Makanan ini dihidangkan pada hari-hari istimewa seperti hari perkahwinan atau semasa sambutan Pesta Menuai yang diadakan di Sabah pada 30 dan 31 Mei setiap tahun.


3. Pinasakan

Gambar daripada ummuhatul.blogspot.com

Pinasakan Sada (ejaan lama: Pinaasakan) atau Pinarasakan merupakan makanan tradisional bagi kaum Kadazan-Dusun dan sangat terkenal di Sabah. Makanan ini merupakan sejenis makanan yang mengandungi ikan Basung yang telah ditumis dan dicampur dengan bahan-bahan lain seperti buah Bambangan, takob-akob, kunyit dan garam. Ianya juga sejenis makanan yang tahan lama dan boleh disimpan untuk beberapa hari.

Pinasakan enak dimakan bersama nasi yang masih panas atau bersama Ambuyat, sejenis makanan tradisional yang juga terkenal di Sabah. Di Sabah, makanan ini boleh didapati di restoran atau gerai makanan yang menyediakan makanan tradisional kaum bumiputera Sabah. Terdapat juga beberapa hotel terkemuka (seperti Hotel Le-Meridien, Kota Kinabalu) di Sabah yang mula menghidangkan Pinasakan untuk diperkenalkan kepada pelancong-pelancong yang datang ke Sabah.

Untuk maklumat lebih lanjut, lihat bahagian:

4. Noonsom

Noonsom merupakan makanan tradisional Kadazan-Dusun yang dibuat dalam bentuk jeruk. Makanan ini boleh didapati di dalam beberapa jenis dan antara Noonsom yang terkenal ialah Noonsom Bambangan, Noonsom Sada dan Noonsom Tuhau.

Noonsom Bambangan

Gambar daripada blogsanasini.blogspot.com

Noonsom Bambangan merupakan sejenis Noonsom yang mana bahan utamanya adalah buah Bambangan. Buah Bambangan atau nama saintifiknya Mangifera Pajang , merupakan sejenis mangga hutan yang terbesar di dunia dan banyak didapati di Pulau Borneo terutamanya di Sabah. Buah Bambangan tersebut akan dipotong kepada saiz kecil dan dicampur dengan biji buah Bambangan yang telah diparut serta cuka sebelum disimpan di dalam bekas (atau tajau kecil). Ianya akan dibiarkan selama seminggu sebelum dihidangkan untuk dimakan. Ianya sedap dimakan begitu sahaja seperti buah-buahan yang lain atau dimakan bersama nasi sebagai lauk.

Noonsom Sada (Ikan)

Gambar daripada she1012012.blogspot.com

Noonsom Sada atau Noonsom Ikan merupakan sejenis Noonsom yang mengandungi ikan sebagai bahan utamanya. Ikan yang digunakan selalunya ikan air tawar dari sungai yang dibersihkan dahulu dan dicampur bersama isi buah Pangi, nasi dan garam. Bahan-bahan tersebut kemudiannya akan dimasukkan kepada bekas atau tajau kecil dan dibiarkan antara 10 ke 12 hari. Selepas tempoh tersebut, makanan ini boleh dihidangkan dan dimakan bersama nasi.

Noonsom Tuhau


Noonsom Tuhau merupakan sejenis makanan Noonsom yang mengandungi Tuhau sebagai bahan utamanya. Tuhau (atau nama saintifiknya, E. Coccinea) merupakan sejenis tumbuhan liar yang tumbuh subur di Kepulauan Borneo. Bahagian dalam pada batang Tuhau akan dibersihkan dan dihiris sebelum dicampur bersama cuka atau perahan jus limau, garam dan cili merah. Ianya akan dibiarkan selama beberapa minit sebelum boleh dimakan sebagai lauk.


5. Hinava (atau Hinata)


Hinava atau Hinata, atau juga dikenali sebagai Hinava Ginapan, merupakan makanan tradisional yang paling terkenal bagi kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Hinava merupakan nama makanan ini bagi suku kaum Kadazan manakala Hinata pula bagi kaum Dusun. Bahan utamanya adalah isi ikan (biasanya ikan Tenggiri dan ikan Yu) yang dicampurkan bersama bahan-bahan lain seperti biji buah Bambangan, cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam. Isi ikan (juga boleh digantikan dengan makanan laut yang lain seperti sotong dan udang) tidak dimasak tetapi dibersihkan dan dicampur dengan cuka atau perahan jus limau.


6. Butod

Gambar daripada sabahanz.blogspot.com

Butod merupakan sejenis ulat yang boleh didapati di dalam batang pokok Rumbia yang sedang reput. Ianya juga dikenali sebagai ulat Sagu (Bahasa Melayu) dan ulat Mulung (di Sarawak). Ulat ini menjadi makanan tradisional suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah dan sering dihidangkan semasa hari-hari istimewa seperti Pesta Menuai atau Pesta Makanan. Butod boleh dimakan begitu sahaja atau digoreng terlebih dahulu supaya ranggup dimakan. Ulat ini dikatakan mempunyai kandungan protein yang tinggi dan baik untuk kesihatan. Bagi yang beragama Islam, ianya haram dimakan kerana Butod merupakan salah satu spesis ulat.


7. Tutumakon

Gambar atas adalah Butod manakala bawah adalah Tutumakon.

Tutumakon merupakan sejenis cacing laut yang juga merupakan makanan tradisional bagi suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Dikenali sebagai makanan eksotik, Tutumakon selalu dihidangkan semasa hari-hari istimewa seperti sambutan Pesta Menuai atau semasa Food Festival yang sering diadakan di Sabah. Cara pemakanannya adalah dengan memakannya begitu sahaja. Status halalnya pula tidak dapat dipastikan kerana belum ada sebarang kenyataan yang berkaitan.


8. Bosou (atau Tonsom)


Bosou yang juga dikenali sebagai Tonsom merupakan sejenis makanan tradisional bagi kaum Kadazan-Dusun yang menyerupai jeruk atau perkasam. Bahan utamanya adalah ikan mentah atau daging yang dicampurkan dengan Buah Pangi. Pangi, atau nama saintifiknya Pangium Edule, adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh subur dan banyak didapati di Kepulauan Borneo. Bahan utama tersebut kemudiannya dicampur dengan nasi dan garam. Kadang-kala, bahan tambahan seperti nangka, nenas muda, atau Tuhau turut dicampur bersama sebagai perasa tambahan. Campuran ini akan dimasukkan ke dalam bekas dan dibiarkan antara 5 sehingga 7 hari sebelum dihidangkan. Ianya boleh dimakan bergitu sahaja atau dimakan bersama nasi yang masih panas dan lauk-pauk lain.


9. Nasi Linopot (Nasi Daun Tarap)

Gambar daripada jelly-etta.blogspot.com

Nasi Linopot atau Nasi Daun Tarap merupakan sejenis makanan tradisional kaum Kadazan-Dusun yang menggunakan daun Tarap (juga dikenali sebagai daun Timadang) untuk membungkus nasi yang telah masak. Nasi tersebut kadang-kala telah dicampur dengan keladi, labu manis, ubi kayu atau keledak sebelum di bungkus dengan daun tersebut. Keistimewaan makanan ini ialah nasi yang telah dibungkus akan mempunyai haruman yang enak dan sedap dimakan. Ianya boleh dimakan bersama lauk-pauk seperti ikan dan sayur-sayuran.



CreditsTo:
http://planet-milano.blogspot.my/2015/02/9-makanan-tradisional-kaum-kadazan.html

KOSTUM KADAZAN-DUSUN
  • Pakaian tradisi suku kaum Kadazandusun kaya dengan keunikannya. Ini adalah kerana, ianya berlainan diantara satu tempat dengan tempat yang lain. Setiap etnik dalam kaum Kadazandusun ini mempunyai perbezaan dari segi pakaian tradisinya.
  • Contohnya pakaian tradisi bagi etnik Dusun Bundu di Ranau dan Liwan di Tambunan adalah berbeza dengan pakaian tradisi bagi etnik Lotud di Tuaran dan juga Kimaragang di Kota Marudu. Setiap etnik dalam kaum Kadazandusun ini mempunyai keunikannya yang tersendiri.
  • Biasanya pakaian tradisi ini dipakai pada musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan juga upacara khas seperti perkahwinan dan Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan di Peringkat Negeri Sabah.
    KOSTUM DAERAH PENAMPANG
Ciri-ciri pakaian tradisi:
  • Blaus tidak berlengan,berwarna hitam baldu untuk wanita (Sinuangga).
  • Blaus berlengan pendek, berwarna hitam(baldu) untuk wanita petengahan umur (Sinompukung)
  • Blaus berlengan panjang untuk wanita golongan tua terutamanya ‘bobohizan'(kinoingan)
  • Kemeja berwarna hitam baldu, atau panjang untuk golongan lelaki.
  • Sarong (tapi) panjang berenda ‘siling’, berwarna hitam
  • Siga – pelbagai corak dan motif pada tenunan
Perhiasan pakaian:
  • renda ‘siling’ utama keemasan pelbagai corak.
Barangan kemas:
  • Himpogot – wang syling berwarna perak.
  • Tinggot – Tali pinggang berwarna perak diperbuat daripada wang syling dolar abad awal 20-han.
  • Tangkong – Diperbuat daripada leburan logam tembaga bercorakkan gong dan berbentuk cincin (husau) yang disarungkan dalam lingkaran rotan yang halus.

KOSTUM DAERAH KOTA BELUD
Pakaian Tradisional Suku Kaum Dusun Tindal Kota Belud dipanggil ‘ Sinipak ‘.
Ciri-ciri Pakaian Tradisi:
  • Blaus berlengan panjang (sinipak ) berwarna hitam.
  • Gonob (sarong) paras lutut.
Perhiasan Pakaian:
  • Renda bercorak dijahit tangan pada lengan blaus.
  • Lengan blaus di atas siku ke bawah pula dibelah dan dijahit tangan dengan berbagai corak kain berenda.
  • Kain hitam berlapis-lapis dengan renda kuning keemasan (sunduk do sunalatan) disandang di tangan sebelah kanan.
Barangan Kemas:
  • Manik-manik antik)Tali pinggang yang lebar (Kinokogis), Sinipogot – 4 gelang sinipogot yang diperbuat daripada wang syiling dolar perak, Gelang Perak (Saring Perak ) dan Anting-anting Perak.
KOSTUM LOTUD (TUARAN)
CIRI-CIRI PAKAIAN TRADISI:
  • Blaus (sukub) dihias sederhana. Ia berwarna hitam serta berenda kuning keemasan, mempunyai labuci di lengan kolar dan di depan baju.
  • Gonob (sarong) hingga ke paras lutut. Linangkit bercorak bunga (kembang suri ). Warna merah merupakan warna utama namun ditambah juga warna keemasan, putih, oren dan biru.
  • Pakaian tradisional mereka ini turut diserikan dengan sejenis kain yang digunakan untuk menutup bahagian kepala si pemakai khususnya bagi kaum perempuan.
Perhiasan Pakaian:
  • Kuluwali (Selindang), Linangkit (corak) bermotif kembang suri.
Barangan Kemas:
  • Lilimbo (tali pinggang rotan) yang tidak mempunyai kancing pembuka.
  • Gelang perak (simpai)
  • Gelang kaki perak (lansung)
KOSTUM KIMARAGANG
  • Baju Kinaling merupakan pakaian tradisional suku kaum Dusun Kimaragang. Ia biasanya berwarna hitam dengan ikat pinggang berwarna warni yang dibuat daripada perak dan ada pula yang diperbuat dari rotan.
  • Pakaian tradisional mereka ini selalunya dipakai ketika mereka menarikanTarian tradisional mereka iaituTarian Kilintangan.
  • Kostum mereka diserikan lagi dengan penutup kepala yang diperbuat daripada rotan ataupun anyaman dari buluh bersama dengan sejenis kain panjang berwarna merah jambu bagi melengkapkan pakaian tradisonal mereka ini agar lebih menarik dan unik.
KOSTUM MURUT TAGAL (KENINGAU)
Ciri-ciri Pakaian Tradisi:
  • Blaus tidak berlengan (sampayau pinongkoh).
  • Sarung (tapi) berwarna hitam paras bawah lutut. Keunikan Tenunan manik-manik berwarna-warni dan bercorak secara melintang dan menegak di seluruh bahagian depan dan belakang blaus serta sarung.
Perhiasan Pakaian:
  • Manik-manik bercorak serta berwarna-warni seperti warna merah, putih, oren dan hijau.
Barangan Kemas:
  • Tali pinggang (tirol ringgit) yang diperbuat daripada wang syiling antik dolar warna perak.
  • Tali pinggang (sukayan) diperbuat daripada manik kristal berwarna merah atau coklat (sapulu).
  • Manik-manik warna biru (botina) dipakai (berjuntai) pada pinggang.
  • Tali pinggang (bungkas) diperbuat daripada manik-manik yang berlapis-lapis berwarna putih yang sukar didapati sekarang. Bungkas merupakan warisan turun temurun ahli keluarga dan bernilai RM 10 000. 00.


Credits To: 
https://bambangantuhau.wordpress.com/negeri-di-bawah-bayu/pakaian/